Saturday, April 18, 2009

Ketua 'baju kuning' ditembak

SONDHI berlumuran darah di wad hospital selepas ditembak .

Lelaki lepaskan 100 das tembakan ke arah Sondhi Limthongkul

BANGKOK: Pengasas pergerakan penunjuk perasaan 'baju kuning', yang mengetuai kepungan lapangan terbang utama di sini tahun lalu, Sondhi Limthongkul, cedera di kepala selepas ditembak kira-kira 100 kali semalam dalam satu cubaan membunuhnya.

Doktor berkata Sondhi, 61, yang juga pernah mengetuai usaha menggulingkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, berada dalam keadaan selamat selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru daripada tengkoraknya.

Lelaki bersenjatakan senapang automatik melepaskan kira-kira 100 das tembakan ke arah kereta dalam serangan waktu fajar mencederakan Sondhi, pemandu serta pembantunya, kata seorang komander polis tempatan.

Serangan itu menambahkan lagi ketegangan antara penyokong baju kuning Sondhi dan penyokong 'baju merah' di pihak Thaksin yang memenuhi jalan raya di bandar ini minggu ini dalam pertempuran ganas dengan pasukan keselamatan.

Serbuan itu berlaku ketika Sondhi � pemimpin Pakatan Demokrasi Rakyat (PAD) yang mencetuskan rampasan sembilan hari di dua lapangan terbang Bangkok tahun lalu � dalam perjalanan untuk membuat rakaman program bagi stesen televisyen swasta miliknya.

"Sekurang-kurangnya dua penyerang mengekori kenderaan dinaiki Sondhi, menghalangnya dan melepaskan 100 das tembakan daripada AK-47 dan M-16," kata Komander Polis, Kolonel King Kwaengwisatchaicharn.

"Motif serangan masih disiasat," katanya.

Pihak berkuasa hospital berkata Sondhi selamat selepas menjalani pembedahan dua jam bagi mengeluarkan serpihan peluru namun masih dalam penjagaan rapi selama seminggu.

"Sondhi kini selamat, dalam keadaan baik dan boleh bercakap," kata Chaiwan Charoenchoketavee, Pengarah Kolej Perubatan Vajira.

"Serpihan peluru menembusi tengkorak luar dan menyebabkan tengkorak yang pecah terkena membran luar otak namun tidak menembusi otak itu sendiri," katanya.

Polis berkata pemandu Sondhi dalam keadaan parah sementara pembantunya cedera ringan.

Laman web berita menunjukkan gambar Sondhi berdiri di depan keretanya selepas serangan, muka dan bajunya dipenuhi darah.

Jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn berkata serangan itu adalah cubaan untuk mencetuskan lebih banyak masalah di Thailand, di mana penunjuk perasaan 'baju merah' menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 123 cedera sebelum ditumpaskan pasukan keselamatan Selasa lalu.

"Terdapat cubaan untuk membunuh Sondhi serta kerajaan termasuk perdana menteri dan pemimpin terkenal lain dari semasa ke semasa. Perkara ini bukan baru," kata Panitan.

"Namun kali ini kejadian itu berlaku ketika perintah darurat masih berjalan. Ia adalah cubaan untuk mencetuskan kekacauan," katanya. Bangkok dan kawasan sekitarnya masih dalam perintah darurat yang diisytiharkan Ahad lalu.

"Kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab, namun kami tahu serangan itu bermotif politik," kata jurucakap PAD, Parnthep Pourpongpan. "Kami akan menunggu siasatan polis dan mematuhi sistem perundangan."

Di tengah-tengah pertikaian itu ialah Thaksin, pemimpin berjiwa rakyat yang penyokongnya terdiri daripada rakyat miskin tetapi tidak disukai Sondhi dari PAD dan penyokongnya dari kalangan elit istana, tentera dan birokrasi di Bangkok.

PAD mengadakan perhimpunan besar-besaran di jalanan pada 2006 yang membuka jalan kepada tentera menyingkirkan Thaksin dalam satu rampasan kuasa.

Penyokong Thaksin menggesa Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva supaya meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya baru, mengatakan beliau berkuasa secara tidak sah berikutan keputusan mahkamah yang menyingkirkan sekutu Thaksin.

Bantahan antikerajaan menutup sidang kemuncak pemimpin Asia di negara ini hujung minggu lalu, menyebabkan kerajaan membatalkan pasport Thaksin dan memulakan kempen menahan pemimpin pergerakan bantahan.

Jutawan media Sondhi, satu ketika dulu adalah rakan Thaksin dan pernah mengisytiharkannya "Perdana Menteri Terbaik" yang pernah dimiliki Thailand, namun kemudian memulakan kempen menentangnya lewat 2005.

Thaksin berkata Sondhi mahu membalas dendam selepas jutawan media itu melabur dengan banyak dalam sebuah stesen televisyen baru yang terhenti akibat halangan kawal selia. - AFP

No comments:

Disclaimer :

Semua post adalah dari sumber terbuka atau seperti disenaraikan. Sebarang bantahan terhadap post hendaklah di e-melkan kepada altisburuk@gmail.com.